Ketakutan kekal

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAH

#Ada satu ketakutan dan kita sedang menuju kearahnya.#

Entah mengapa semakin diri merasa hadirnya ketakutan itu, semakin diri sedar betapa sedikitnya masa untuk bergembira. 
Entah mengapa apabila ketakutan itu datang menyapa, diri seolah seperti baru bangun dari satu lena yang panjang dan hati bergegas mencari yang tersayang dan mula menatapnya sepuas hati. Yalah, seolah esok tiada lagi.
Entah mengapa satu ketakutan itu buat diri seakan tersedar betapa hinanya sebatang tubuh ini jika dia bakal menatap si Pemberi nyawa dalam masa terdekat ini. Entah.

Ketakutan itu.
Setiap manusia memang takutkan perkara yang satu tu. Namun sayangnya tidak semua yang berusaha untuk menjadi yang terbaik untuk bersemuka dengan ketakutan itu. Dan, ya, termasuklah aku. Tipulah diri tidak pernah merasa gigil apabila ketakutan itu main cak cak kan. Papar kisah sedih di pelbagai jenis tempat, tidak kiralah di alam maya ataupun tidak. Semua tempat dia sapu. Semua tempat dia sebat dan semua tempat juga dia luaskan rasa takut itu. Siap buat penambah perisa lagi tau. Apa dia? Rasa kesedihan teramat. 
Tapi tulah. Tak semua merasa perisa tambahan tu. Sebabnya? alah, selalu sangat keluar, dah sebati kan?

Ketakutan itu.
Entah mengapa makin luas empayar kawasannya. Mungkin ini adalah perspektif dari dalam diri aku sendiri namun itulah yang sedag bermain dalam benak fikiran saban hari, setiap hari dan setiap waktu! Akhirnya? mulalah risau akan setiap perancangan masa depan dapat dicapai ataupun tidak. Soal kahwin? masuklah dalam senarai tu cuma mungkin di tangga paling bawah sekali. Yang dekat dekat pun susah nak dicapainya apatah lagi yang jauh nun.

Ketakutan itu.
Memang tidak pernah kenal usia pun. Kalau sudah tiba saat, ketika dan waktu, memanglah dia akan bersemuka. Bersedia ke, tidak ke dengan tuan punya badan, itu dia tidak ambil peduli. Ya lah, bukan main banyak masa yang telah diberi kepada si tuan punya badan tapi apa yang mereka telah kerjakan? jawab sendirilah dengan setiap Penolong Pemberi nyawa. Masa tu, setiap penyesalan dah macam pasir jernih di persisiran pantai dah. Banyak dan ringan!

Dan untuk setiap kisah berkisar keakutan itu, aku genggam walaupun tidak sekuat mana tapi aku akan genggam. Wajib untuk genggam. Tidak sekali aku lepaskan. 
Dan untuk setiap kecacatan amalan aku, akan aku tampal dengan kebaikan tanpa sedar. 
Dan matlamat aku yang kini bukan lagi berbungakan dengan kisah dogeng novel dan kicauan burung indah drama tv tapi berbekalkan irama ketakutan itu. Kerana itu akan membuatkan aku sedar bahawa hidup ini tidaklah selama yang aku impikan.

Ketakutan itu apa? Itulah irama dan melodi kematian dan kita sedang menuju kearahnya. 
Oh! itu ketakutan  kekal bukan?
P/s: Kuatlah untuk bersemuka dengan ketakutan itu.

Sakitnya sayang

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAH



#Sayang itu kadangkala menyakitkan,#

Nampak mudah kan melihat mereka yang begitu mudah bergaul mesra dengan orang sana sini, mudah untuk selesakan diri dengan pelbagai jenis bentuk manusia dan mudah untuk menerima segala baik buruk seseorang manusia itu. Nampak macam hai, bahagianya dia. Ketawa sanasini. Kawan keliling pinggang. Seolah tidak bermasalah.

Hey, itulah masalahnya. Masalah yang wujud dalam diri seorang Tia.
Apa masalah Tia?
Masalah Tia ialah dia mudah untuk bergaul mesra, mudah untuk membuatkan dirinya bahagia, mudah untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai jenis keadaan dan mudah menerima manusia dalam hidupnya dan akhirnya wujud rasa sayang dalam dirinya. Kesannya? apabila manusia yang sedang bertapa dalam dunia kecilnya itu bergerak keluar ataupun sudah mula untuk menyisihkan dirinya, mula lah timbul rasa kurang senang. Rasa sedih la, rasa diri tu tak sempurna lah dan bermacam lagi perasaan negatif datang menyinggah yang mana akhirnya diri dia hilang keyakinan sedikit demi sedikit.

Ada masa tu, Tia rasa Tia dah malas dah nak sayang orang lebih lebih sedangkan mereka langsung tidak punya rasa yang sama seperti Tia. Tia jelah yang terhegeh menyayangi. Ada juga kawan Tia yang datang apabila masalah datang menimpa. Masa tu bukan main menghubungi dan apabila selesai segalanya, hilang terus dari sisi. Namun sayangnya Tia tidak boleh membenci. Alasannya? dia begitu menyayangi dan disebabkan sikap dia itulah dia jenis tak sampai hati nak buat benda yang bukan bukan dengan manusia sekeliling. Paling teruk pun, tak balas segala jenis bentuk pesanan. Itupun hanya mampu bertahan selama sehari, kalau tidak pun adalah dalam tiga ke empat hari lamanya. Akhirnya Tia masih tetap akan terus menyayangi.

Sekarang ni, dia berdoa sangat kepada Pencipta hatinya itu untuk terus diberi kekuatan menyadokan hati. Dia mahu hati dia sado. Badan tak sado pun, tidak mengapalah asal hati tu mohonlah jangan lembik sangat. Mohon sangat hati tu jangan terlampau menyayangi ataupun mengambil berat perihal manusia lain. Cukuplah jika dirinya itu menjaga kebajikan keluarganya yang sudah tentu tidak akan pernah meninggalkan dirinya keseorangan dan membiarkan dirinya seperti hilang arah apatah lagi mencari dikala sedang dilanda ribuan masalah. 

Tia bukanlah mahukan setiap manusia itu untuk bersamanya  setiap hari dan setiap masa. Cukuplah sekiranya dia tahu sayangnya itu masih ada. Sebabnya? Tia menyayangi. Dia begitu sayangkan manusia disekelilingnya. Dia menghargai setiap satu manusia yang berada disampingnya. Tia sayang. Sayang semua.

Ini Tia dan sayang Tia ada sakitnya.


Ucapan selamat tinggal Tia

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAH


#Teruskan bersinar kejora! Tia akan sentiasa doakan kejora!#

Hai kejora. Kejora sihat? Lama Tia tidak mendengar khabar kejora. Tia hanya mampu melihat kejora nun jauh disana. Tia tahu kejora baik baik saja. Tidak ada apa yang perlu Tia risaukan sebab Tia tahu kejora mampu menjaga diri kejora. Oh ya, pada waktu kini, kejora sedang berusaha untuk menggilapkan diri kejora supaya tampak lebih berkilau di angkasa bukan? Tia doa, kejora mampu menjadi yang terbaik berbanding yang lain. Mampu berkelip dengan cahaya yang lebih terang dari biasa. Kejora boleh! Tia tahu kejora boleh. 

Kejora tahu? masa untuk Tia merindukan kehadiran kejora sudah tiba. Tia kini hanya mampu untuk melihat kejora di angkasa semata tanpa berpeluang untuk merindukan mahupun mengharapkan kehadiran kejora pada keesokan hari. Masa Tia sudah tamat. Masa Tia sudah tiba di penghujung. Tia sedih. Namun Tia tahu bahawa Tia hanya layak untuk menatap cantiknya kerlipan kejora dan memerhatikan betapa indahnya si kejora menghiasi kegelapan malam. Tia tahu, hanya purnama yang boleh menjadi peneman kejora. Kejora memang nampak sepadan dengan purnama. Apalah kelebihan yang Tia ada jika mahu dibandingkan dengan keistimewaan si purnama bukan? Kejora serba salah? Eh, janganlah. Memang sejak azali kan tempat kejora bersebelahan dengan purnama. Tia je yang menyimpan harapan lebih untuk punya kejora bergandingan dengan Tia. 

Kejora, Tia ingin sekali kejora tahu bahawa Tia akan selalu mendoakan kesejahteraan kejora. Tia mohon izin untuk terus menikmati keindahan dan kecantikan kerlipan kejora. Tia harap Tia akan sentiasa ada peluang untuk menatap kehadiran kejora di angkasa. Kejora indah! Kejora penceria hati nan walang. Kejora tidak pernah kenal erti berputus asa. Ya lah. Kejora tetap akan berkelip walaupun cahaya kejora itu semakin malap. Mohon kejora tidak berang ya pada Tia yang selama ini menjadi perindu setia kejora.  Tia tidak mahu berjanji untuk tidak lagi menjadi perindu kejora namun Tia akan cuba untuk bergerak keluar dari dunia kejora. Perlahan lahan Tia undurkan diri kejora. Jangan risau. Kejora tidak akan pernah perasan jika Tia tidak lagi menjadi perindu kejora, Kejora punya purnama. Purnama setia pada kejora. Tia tahu purnama mampu menjadi peneman setia kejora.

Kejora, berkeliplah dengan terang ya! Kejora jangan pernah lelah menceriakan hati ribuan malah jutaan manusia di atas muka bumi ini. Kejora punya aura kejora tersendiri. Tia yakin pada kejora. Tia yakin pada cahaya kendiri kejora. 

Tia undurkan diri dahulu ya kejora. Selamat tinggal kejora. 

Ini ucapan selamat tinggal Tia. Entah. Tia sentiasa tidak punya keyakinan terhadap dirinya untuk terus berhadapan apatah lagi bergandingan dengan dengan kejoranya. Masa Tia masih berbaki lagi beberapa hari. Tidaklah tamat seperti yang diperkata cuma Tia tidak betah untuk berterusan menghitung hari demi hari, konon menanti kasih yang tidak pasti. Tia bilang, dia perlu persiap diri menanti hari mendatang walaupun dia tahu hari ini perlu dinikmati dengan sepenuh hati. Namun Tia juga tahu, bahawa malam nan kelam itu pasti jua akan bertukar menjadi siang yang begitu cerah dengan limpahan cahaya matahari. Maka, diri Tia juga perlu berubah bukan? Tia tahu dia masih lagi mampu untuk berjumpa kejoranya. Penghabisan kata, ini bukanlah penamat sedih buat Tia dan kejoranya. Tia akan berterusan berasa gembira jika kejoranya tidak pernah putus untuk berkelip atas cahayanya yang tersendiri.

Si kejora dan perindunya

ASSALAMUALAIKUM WARAMATULLAH

#Entri panjang.#

Ini kisah si kejora.
Ya, kejora! Kejora yang berkelip atas cahanya yang tersendiri. Mungkin punya pinjaman dari si mentari namun kerlipannya asli! Walau sinarnya tidak secerah si rembulan namun ia mampu menyinari kegelapan malam. Menjadi punca para manusia tersenyum gembira. Walau kerlipannya seperti tidak kelihatan namun ia tetap terus berkelip tanpa pernah jemu, tanpa pernah lelah dan masih setia menjadi penyeri pada malam hari.

Masih ingat akan Tia?
Ya Tia. Tia yang sentiasa kekal dengan senyumnya. Tia yang masih kekal dengan tingkahnya. Tia yang dulunya pernah hilang jati dirinya. Tia kini akui bahawa semua yang dia pernah lalui mematangkan diri. Tia kini percaya bahawa setiap yang dia rasa dahulu telah memberikan dia satu definisi baru dalam melihat dunia yang penuh berliku. Tia percaya semua yang pernah dia lihat menjadikan diri kini semakin kuat. Kuat untuk terus menongkah hidup. 

Tia kini menjadi seorang perindu. Ya, perindu.
Tia merindukan si kejoranya. Tia sentiasa mendambakan untuk punya kejoranya yang tersendiri. Tia adakala sangat cemburukan sang purnama kerana sentiasa punya peluang untuk terus berdampingan dengan kejora sedangkan Tia hanya mampu melihat kejoranya nun disana kejauhan. Berseorangan pulak tu! Namun ada masa Tia rasa sangat bertuah kerana masih berpeluang untuk terus menatap betapa cantiknya si kejora itu berkelip dengan cahaya malap namun masih tampak terang menyinar. Tia rasa gembira kerana sekurangnya dia masih mampu untuk mengagumi keindahan kejoranya walaupun hanya menjadi seorang perindu. Alhamdulillah, kejoranya masih tetap terus menyinar walaupun tidak seterang sang purnama. 

Ohh, Tia punya pesanan tau buat kejora. Maafkan Tia sebab Tia hanya mampu mencoret kata melaui medium ini dan tidak dapat untuk direalisasikan dalam bentuk realiti. Tia takut. Tia takut jika Tia tidak lagi punya peluang untuk melihat betapa cantiknya kerlipan si kejora. Tia bimbang jika Tia tidak lagi dapat menjadi seorang perindu kepada si kejora. Kejora punya segalanya walaupun mungkin hilang apabila mentari menjelma namun masih tetap menjadi idaman hati ribuan manusia, termasuk Tia. Sedangkan Tia hanya tidak punya apapun untuk dipersembahhkan kepada kejora. 

Kejora..
Ini pesanan Tia. Tia mohon ampun, Tia mohon maaf kerana sehingga kini Tia tetap setia menjadi perindu kejora. Tia tahu Tia hanya boleh berbuat sedemikian dalam tempoh yang seketika namun entah mengapa Tia ingin sekali memanjangkan tempoh itu. Tia seperti mahu untuk terus menjadi perindu kejora. Tia tahu Tia tidak akan pernah mampu untuk menjadi peneman kejora. Mana mungkin Tia boleh melawan kecantikan yang dimiliki oleh sang purnama. Tia tidak punya kelebihan seperti sang purnama dan Tia juga tidak mampu untuk punya sinar yang terang berkelip seperti kejora. Tia hanya si perindu. Seorang perindu yang hanya mampu mengagumi tanpa memiliki. Kejora memang nampak sangat dekat dengan Tia namun untuk punya kejora dalam genggaman Tia, itu adalah sesuatu yang mustahil. Cukuplah jika Tia masih lagi punya peluang untuk terus memerhatikan kecantikan kerlipan kejora walaupun tidak lagi punya tempat untuk berterusan menjadi perindumu, kejora. Tia akan sentiasa mendoakan kejora berterusan berkelip atas cahaya tersendiri. Kejora hebat. Kejora punya segalanya. Masa depan kejora cantik! Kejora jangan sesekali berhenti berkelipan ya. Hilangnya kejora membuatkan malam menjadi semakin kelam walaupun sang purnama tetap gah menyinar namun para manusia masih tetap menantikan kehadiran kejora. 

Kejora.. Tia sayang kejora. Ya, Tia sayang kejora. Tia tahu Tia perlu menghentikan waktu itu namun Tia tetap nak beritahu yang Tia sayang kejora. Maafkan Tia sebab punya rasa sebegitu rupa. Tolong jangan pernah bencikan Tia ya kejora. Teruskan bersinar kejora! Walaupun masih tidak dapat menandingi kecantikan sang purnama namun percayalah kejora punya kelebihan tersendiri. Tia? jangan risau. Tia kan kuat! Tia mahu jadi sama kuat seperti kejora. 

Ini kisah Tia. Kisah Tia yang merindukan si kejoranya.

Definisi diri

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAH


#Kisah dia#

Tak salah kan mencari punca untuk merasa gembira? Tak salah kan mencari alasan mengapa seseorang itu perlu untuk merasa gembira. Tak salah kan mengalihkan perhatian pada sesuatu yang membuat diri terawang dan melupakan segala macam jenis permasalahan. Yang penting, bahagia!

Dia. Kisah dia.
Dia yang selama ini hanya menjadi tatapan kini sedia tampil kehadapan. Entah. Melonjak gembira jugalah diri ini. Jika ada yang bertanya akan kondisi diri, hanya satu jawapan yang mampu diberi. Bahagia! sambil senyuman menghiasi bibir . Tak ingat dah setiap orang yang berada disisi. Seolah olah dunia ini kepunyaan diri, seorang diri.

Dia. Kisah dia.
Aku tidak meletakkan sebarang jenis pengharapan untuk terus punya interaksi dengan dia di masa akan datang apatah lagi menyimpan angan untuk bergandingan dengannya. Nampak mustahil disitu. haha. Siapalah aku ni ha. (Ayat sedih yang tak menahan)

Hai awak.
Terima kasih kerana memberikan aku peluang untuk berkenalan denganmu. Untuk setiap momen antara kita, akan aku simpan selamanya. Jangan risaulah. aku tidak akan pernah simpan angan pun untuk bergandiingan dengan mu, cuma merasa bahagia kerana engkau hadir dalam dunia kecil ini walau mungkin untuk seketika.

Definisi diri? Bolehlah beranggapan bahawa diri ini tidak punya keyakinan untuk menyukai siapapun di dunia realiti. Sememangnya dunia fantasi itu indah penuh ilusi ciptaan sendiri. Bangun dan berusahalah untuk mencapainya? mungkin bab lain sebabnya bab yang ini sukar untuk direalisasikan.

P/s: All the best si dingin!

~okay, i'm off~

Si dingin

ASSALAMUALAIKUM  WARAHMATULLAH

#Muka serius hati, taman bunga.#

Tirai sudah dilabuhkan. Sauh sudah dinaikkan. Hati sudah mula menerima hakikat bahawa dunia itu bukan lagi milik aku. Akal sudah dapat menghadam bahawa hidup perlu diteruskan dan kaki wajib meneruskan langkah. Hidup perlu berubah. Jika siang bertemu malamnya masakan manusia masih kekal pada tangkuk yang lama.

Ini catatan ringkas.
Catatan yang berkisarkan tentang seorang insan yang kugelar sebagai si dingin. Namun pendiriannya menyatakan dia punya hati yang indah dengan pelbagai jenis bunga berwarnawarni. Nak cakapnya, muka je serius hati ada taman. 
Untuk memudahkan penceritaan, si dingin ini hebat! Si dingin ini punya kemahiran yang mampu membuatkan yang lain terpaku. Si dingin ini mampu membuat para gadis tidak berkelip, mungkin juga sampai jatuh hati. Namun si dingin ini amatlah merendah diri orangnya. Tidak menunjuk bakat yang ada dan sangat bermurah hati untuk memberi tunjuk ajar pada mereka yang memintanya. Hebat bukan? Memang kalau diikutkan, si dingin cukuplah serba serbi sebagai jejaka idaman malaya. Oh! lupa nak cakap. Si dingin ini seorang jejaka. Jejaka yang telah lama aku kenali dulu. Lama dah. Lama sangat. Dari mula aku masuk ke institusi itu sehinggalah aku melangkah keluar aku mengenali si dingin ini.
Apa yang menariknya?
Sepanjang aku mengenali dirinya, tidaklah pernah sekali pun si dingin ini pandang aku, apatah lagi menghulurkan salam persahabatan dengan aku. Pemalu telahnya. Tapi, aku tidak pernah kisah. Pandang dari kejauhan pun tidak mengapalah. Diri tidak dikenali pun tidak mengapalah. Asalkan aku masih mampu untuk melihat bakat yang dia miliki. 
Aku fikir, apabila segalanya telah ditamatkan, aku tidak mungkin lagi dapat melihat bakatnya apatah lagi untuk berhubungan dengan dia. Kira, move on la ni tapi dengan tidak semena mena, si dingin itu muncul dan akhirnya sebuah persahabatan mula terjalin.
Sekarang, aku tidaklah mahu pengharapan yang lebih. Tidak sama sekali. Cukuplah si dingin itu tahu bahawa aku pernah bernaung satu bumbung dengannya dan kami saling bertegur sapa antara satu sama lain. Si dingin masih lagi tidak dapat menebak aku dengan lebih tepat namun dia telah memberiku jalan untuk aku bertegur sapa dengannya apabila kami bersua muka suatu hari nanti. Kira okelah tu. Sekurangnya, aku sudah dapat untuk berinteraksi dengan si dingin walaupun tempat itu bukan lagi milik aku.

Hai si dingin.
Mohon untuk terus punya interaksi antara kita lagi. Ketahuilah bahawa penulis kisahmu ini seorang yang mudah ketawa, bising dan sedikit menjengkelkan tapi punya hati yang sangat baik. Eh. Mohon untuk menerima segala kekurangan diri. Hahaha

P/s Misi pencarian peluang kerja bermula. Mohon dapat sebijik dua.

~okay, i'm off~

Si penyempurna

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAH

#Awas! ini entri panjang.#

Dia, si penyempurna.
Hadir dia si manusia penyempurna memberikan satu kesan yang sampai akhir masa pun takkan pernah hilang. Kesan apa? Kesan sayang-terlebih-tak reti-nak-move on.

Dia, si penyempurna.
Manusia yang tetap utuh berdiri di sebelah, memegang erat tangan sehingga timbul rasa sayang tidak terhingga terhadap dirinya. Penyebab dia disayangi dengan sesungguhnya.

Jadi, siapa si penyempurna tu?

Mudah! dia manusia yang pertama kali dijumpai ketika diriku telah sah menjadi seorang pelajar ijazah sarjana muda di sebuah institusi tempatan di Malaysia ini. Manusia itu tidaklah aku kenali sebelum ini namun dia merupakan teman pertama yang aku kenal setelah menjejakkan kaki ke insitusi itu dan dia kawan yang sampai sekarang masih melekat dengan aku walau jarak memisahkan kami. Si penyempurna itu memanglah jenis terlampau jujur dan kadangkala katanya tersangatlah bisa. Mampu bikin manusia sekelilingnya sentap menusuk kalbu. Namun aku tetap mengasihi dan masih degil untuk terus berteman dengannya sedangkan dia? seperti tidak kisah jika aku mahu untuk terus melangkah keluar dari hidupnya. 
Siapa kata air tenang tiada buaya? Siapa kata manusia berperawakan tenang dan sukar menelah isi hatinya ini tidak reti untuk marah? Kami pernah bergaduh, saling sentap, saling terasa dan saling menyakiti hati masing masing. Namun entah mengapa pada akhir waktu, dia juga manusia yang paling aku rindu dan aku mahu dalam hidup aku. Dia juga lah manusia yang pada akhirnya  aku cari dan hanya dia manusia yang mampu buatkan aku berusaha untuk membetulkan kembali hubungan apabila retaknya mula kelihatan. Hati ini, mahu dia, seolah perjalanan diriku sebagai seorang pelajar universiti tidak akan pernah lengkap tanpa dirinya.
Si penyempurna itu biasa sahaja manusianya. Tidak punya apa kelebihan pun, malah tingkah laku kami tersangat beza antara satu sama lain. Aku peluah rasa dan dia si pemendam setiap kata. Namun aku masih tetap mahukan dia untuk menjadi sebahagian dari hidup aku. Aku masih tetap mahukan dia untuk terus tetap dalam dunia kecil aku. Istimewa dia dalam hidup aku adalah kerana dirinya yang ikhlas untuk bersahabat dengan aku dan ikhlas menerima setiap kekurangan dalam diri aku. Aku berkelakuuan seperti manusia paling bodoh pun dia masih tetap setia untuk menjadi temanku. Istimewa bukan? ohh, dia sememangnya si penyempurna. Sempurna untuk aku.

Kau tahu? Dia istimewa! Dia adalah si penyempurna aku.

Sebabnya? dia ada saat yang lain menjauhi dari aku. Aku tahu aku bukanlah manusia yang berterusan mempamerkan perilaku mulia. Aku manusia keji yang tidak pernah lepas untuk melakukan jutaan kesalahan setiap hari. Tetapi! si penyempurna itu masih tetap disitu dan tidak pernah berganjak dari tempat dia bersemayam. Dia masih sanggup untuk memegang erat tangan manusia keji ini dan menunggu sehingga air mata si keji ini kering. Dia tetap setia untuk meminjamkan telinganya menadah setiap cerita yang sama berulang kali. Dia mungkin bosan tetapi dia masih tetap disitu dan terus menemani. Dia si penyempurna. 
Dia manusia yang Allah turunkan untuk aku sebagai hadiah paling istimewa dalam hidup aku. Kehadiran dia dalam hidup aku banyak mengajarkan aku untuk terus berdiri atas kaki sendiri. Dia banyak menyedarkan aku untuk memerhati dan menilai ragam manusia dari pelbagai sudut. Entahlah. Dalam banyak manusia yang berada disekeliling aku, dia antara manusia yang peka akan perubahan dalam diri aku. Mungkin bukan dari segi luaran. Dia si penyempurna.

Dia manusia sempurna. Sempurnakan hari hari aku. Dia menerima diri ini dengan apa ada. Dia si penyempurna. Kerana apa? kerana dia telah menyempurnakan hari hari aku selama aku bergelar seorang pelajar di institusi itu. Hari aku, hidup aku sempurna dengan kehadiran dia dan aku tidak tahu apa kan jadi kalau dia pergi menghilang secara tiba tiba tanpa khabar berita. 

Hai si penyempurna, terima kasih kerana menyempurnakan hari hari aku selama ini. kau akan sentiasa berada dihati dan terus kekal selamanya disitu. Terima kasih kerana menerima diri ini apa ada walau kita berdua sangat berbeza dari pelbagai sudut. Untuk setiap hariku yang dihiasi dengan senyum dan gelak tawa, terima kasih. Untuk setiap kata semangat saat aku hilang kosong tanpa punya apapun untuk aku berpaut, terima kasih. Kau si penyempurna, sempurnakan hari hari aku.

Kau si penyempurna dan aku rindukan kau, Najuha.

P/s: Sambil menaip sambil punya mata berkaca.

~okay, i'm off~



Sayang

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAH

#Dia dihati. Masih dihati.#

Kisah kita sepatutnya sudah lama menemukan titik akhir.
Kisah kita sudah lama menemukan jalan pulang.
Tetapi kepulangan itu menghibakan,
bukan seperti dalam gambaran mindaku.

Dia.
Dia dihati walau kini tidak lagi berada disisi.
Nama yang sentiasa menjadi melodi indah yang sentiasa menemani dikala sunyi.
Seraut wajah yang selamanya menjadi idaman hati.
Sikap dan peribadi yang tidak mungkin aku ketemu pada insan lain.
Senyuman yang menjadi punca kedamaian dalam diri.
Kata yang berjaya menghidupkan kembali semangat untuk aku terus melangkah.

Aku.
Masih punya namanya di hati.
Masih melagukan melodi mesra bersama.
Masih berpaut pada kenangan lama.
Masih mahukan dirinya dalam hidup.
Namun aku juga tahu bahawa itu hanya wujud dalam alam fantasi aku.
Aku juga akui, aku sudahpun hilang kasih yang sentiasa membaluti jiwa.
Aku akui, sayang aku sudah jauh meninggalkan aku seorang diri.
Dia tidak perlu dipersalahkan.

Sayang..
Kau sentiasa dalam hati. Namamu masih menemani. Kenangan bersamamu sentiasa diulangtayang kembali dan katamu sentiasa menjadi penguat untuk diri ini. Untuk semua yang telah kau sumbangkan, terima kasih aku ucapkan.

~okay, i'm off~