Si kejora dan perindunya

ASSALAMUALAIKUM WARAMATULLAH

#Entri panjang.#

Ini kisah si kejora.
Ya, kejora! Kejora yang berkelip atas cahanya yang tersendiri. Mungkin punya pinjaman dari si mentari namun kerlipannya asli! Walau sinarnya tidak secerah si rembulan namun ia mampu menyinari kegelapan malam. Menjadi punca para manusia tersenyum gembira. Walau kerlipannya seperti tidak kelihatan namun ia tetap terus berkelip tanpa pernah jemu, tanpa pernah lelah dan masih setia menjadi penyeri pada malam hari.

Masih ingat akan Tia?
Ya Tia. Tia yang sentiasa kekal dengan senyumnya. Tia yang masih kekal dengan tingkahnya. Tia yang dulunya pernah hilang jati dirinya. Tia kini akui bahawa semua yang dia pernah lalui mematangkan diri. Tia kini percaya bahawa setiap yang dia rasa dahulu telah memberikan dia satu definisi baru dalam melihat dunia yang penuh berliku. Tia percaya semua yang pernah dia lihat menjadikan diri kini semakin kuat. Kuat untuk terus menongkah hidup. 

Tia kini menjadi seorang perindu. Ya, perindu.
Tia merindukan si kejoranya. Tia sentiasa mendambakan untuk punya kejoranya yang tersendiri. Tia adakala sangat cemburukan sang purnama kerana sentiasa punya peluang untuk terus berdampingan dengan kejora sedangkan Tia hanya mampu melihat kejoranya nun disana kejauhan. Berseorangan pulak tu! Namun ada masa Tia rasa sangat bertuah kerana masih berpeluang untuk terus menatap betapa cantiknya si kejora itu berkelip dengan cahaya malap namun masih tampak terang menyinar. Tia rasa gembira kerana sekurangnya dia masih mampu untuk mengagumi keindahan kejoranya walaupun hanya menjadi seorang perindu. Alhamdulillah, kejoranya masih tetap terus menyinar walaupun tidak seterang sang purnama. 

Ohh, Tia punya pesanan tau buat kejora. Maafkan Tia sebab Tia hanya mampu mencoret kata melaui medium ini dan tidak dapat untuk direalisasikan dalam bentuk realiti. Tia takut. Tia takut jika Tia tidak lagi punya peluang untuk melihat betapa cantiknya kerlipan si kejora. Tia bimbang jika Tia tidak lagi dapat menjadi seorang perindu kepada si kejora. Kejora punya segalanya walaupun mungkin hilang apabila mentari menjelma namun masih tetap menjadi idaman hati ribuan manusia, termasuk Tia. Sedangkan Tia hanya tidak punya apapun untuk dipersembahhkan kepada kejora. 

Kejora..
Ini pesanan Tia. Tia mohon ampun, Tia mohon maaf kerana sehingga kini Tia tetap setia menjadi perindu kejora. Tia tahu Tia hanya boleh berbuat sedemikian dalam tempoh yang seketika namun entah mengapa Tia ingin sekali memanjangkan tempoh itu. Tia seperti mahu untuk terus menjadi perindu kejora. Tia tahu Tia tidak akan pernah mampu untuk menjadi peneman kejora. Mana mungkin Tia boleh melawan kecantikan yang dimiliki oleh sang purnama. Tia tidak punya kelebihan seperti sang purnama dan Tia juga tidak mampu untuk punya sinar yang terang berkelip seperti kejora. Tia hanya si perindu. Seorang perindu yang hanya mampu mengagumi tanpa memiliki. Kejora memang nampak sangat dekat dengan Tia namun untuk punya kejora dalam genggaman Tia, itu adalah sesuatu yang mustahil. Cukuplah jika Tia masih lagi punya peluang untuk terus memerhatikan kecantikan kerlipan kejora walaupun tidak lagi punya tempat untuk berterusan menjadi perindumu, kejora. Tia akan sentiasa mendoakan kejora berterusan berkelip atas cahaya tersendiri. Kejora hebat. Kejora punya segalanya. Masa depan kejora cantik! Kejora jangan sesekali berhenti berkelipan ya. Hilangnya kejora membuatkan malam menjadi semakin kelam walaupun sang purnama tetap gah menyinar namun para manusia masih tetap menantikan kehadiran kejora. 

Kejora.. Tia sayang kejora. Ya, Tia sayang kejora. Tia tahu Tia perlu menghentikan waktu itu namun Tia tetap nak beritahu yang Tia sayang kejora. Maafkan Tia sebab punya rasa sebegitu rupa. Tolong jangan pernah bencikan Tia ya kejora. Teruskan bersinar kejora! Walaupun masih tidak dapat menandingi kecantikan sang purnama namun percayalah kejora punya kelebihan tersendiri. Tia? jangan risau. Tia kan kuat! Tia mahu jadi sama kuat seperti kejora. 

Ini kisah Tia. Kisah Tia yang merindukan si kejoranya.

No comments:

Post a Comment